KUALA LUMPUR – Afeeya Group Sdn. Bhd. (Afeeya), pengeluar jam tangan Islamik berjenama Altaf, mengunjurkan jualan sehingga 5,000 unit sebulan sepanjang tahun ini.
Pengasasnya, Nor Sahrizan Mohd. Wazi berkata, jam digital kombinasi azan dan kiblat itu telah terjual sebanyak 30,000 unit selepas berada di pasaran sejak 2020.
Beliau berkata, pengeluaran produk itu sejajar dengan perkembangan teknologi terkini bagi memudahkan urusan harian umat Islam beribadat.
“Jam Altaf yang dilengkapi paparan cahaya lampu LED itu bukan sekadar dijadikan sebagai petunjuk waktu sahaja tetapi akan memudahkan pengguna menentukan arah kiblat dan waktu solat secara global, memiliki kombinasi azan serta juga penanda al-Quran,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Nor Sahrizan menjelaskan, idea untuk menghasilkan jam islamik itu bermula tahun 2019 selepas beliau menamatkan pengajian dalam jurusan Pengurusan Polisi dan Sekitaran Sosial di Universiti Malaysia Terengganu.
Selain menjadi usahawan dropship menjual pelbagai produk keluaran tempatan, beliau juga seorang yang aktif dalam aktiviti lasak seperti berkhemah dan mendaki gunung.
“Ketika melakukan aktiviti lasak, saya berpandukan telefon pintar untuk menentukan arah kiblat dan waktu solat fardhu tetapi ia hanya satu penyelesaian sementara kerana tidak dapat menunjukkan arah kiblat dan pelbagai ciri lain sekiranya telefon tersebut kehabisan bateri atau tiada data internet.
“Bermula di situ, saya cuba mencari jalan untuk merealisasikan penghasilan idea jam kiblat yang mengingatkan waktu solat fardhu di mana sahaja kita berada tanpa memerlukan liputan internet atau data mudah alih,” katanya yang melabur sebanyak RM20,000 untuk perniagaan tersebut. -KOSMO! ONLINE