KUALA NERUS – Keriangan seorang budak lelaki berusia lima tahun pulang ke kampung berakhir tragedi apabila dia maut disengat lebih 60 ekor tebuan tanah di Kampung Tok Jembal di sini semalam.
Kejadian pada pukul 5.40 petang itu berlaku ketika mangsa, Eidrish Mohd. Khalid sedang bermain bersama bersama dua kakaknya di taman permainan berhampiran rumah neneknya.
Bapanya, Mohd. Khalid Omar, 40, berkata, sewaktu kejadian, mereka sedang bersiap untuk pulang semula ke rumah di Pengkalan, Ipoh, Perak setelah tiga hari bermalam di kampung.
“Saya yang berada di dalam rumah dikejutkan dengan anak sulung saya, Nur Adelya Qaisara,10, yang berlari masuk mengadu adik ketiganya (Eidrish) disengat tebuan.
“Tanpa fikir panjang, saya terus berlari menyelamatkan Eidrish yang ketika itu badannya penuh dikerumuni tebuan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumah keluarganya di Kampung Tok Jembal di sini hari ini.
Mohd. Khalid berkata, selain Eidrish, dia dan dua lagi anaknya, Nur Adelya Qaisara dan Nur Aiyris Dania, 7, turut terkena sengatan tebuan tanah dalam kejadian itu.
Tambahnya, mereka kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini oleh ahli keluarga bagi menerima rawatan.
“Eidrish, Nur Adelya Qaisara dan Nur Aiyris Dania ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebu manakala saya pula di wad biasa.
“Saya gagahkan diri turun ke ICU apabila dimaklumkan Eidrish semakin tenat sebelum dia meninggal dunia di hadapan saya pada pukul 11.40 malam tadi,” katanya.
Mohd. Khalid berkata, jenazah Eidrish selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Takir di sini pada pukul 10 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE