KAJANG – Mengalami tekanan pekerjaan antara alasan yang diberikan beberapa individu yang ditahan positif dadah menerusi Ops Khas Bersepadu di Plaza Tol Sungai Ramal, Lebuh Raya Lingkaran Kajang (SILK) di sini hari ini.
Operasi itu dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari tadi.
Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan JSPT Bukit Aman, Superintendan Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, seramai 36 pegawai serta anggota polis, JPJ dan AADK menjalankan pemeriksaan menerusi operasi terbabit.
“Ujian saringan air kencing turut dilakukan terhadap 38 orang individu bagi mengesan kesalahan penyalahgunaan dadah.
“Daripada jumlah berkenaan, hasil saringan air kencing mendapati seramai 10 lelaki berusia lingkungan 25 hingga 50 tahun positif dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelasnya, rata-rata yang ditahan mengaku mengambil dadah ekoran tekanan dalam pekerjaan.
Tambahnya, JSPT Bukit Aman turut menjalankan pemeriksaan terhadap 150 kenderaan dan mengeluarkan 80 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya. – KOSMO! ONLINE