LIVERPOOL – Legenda Liverpool, Robbie Fowler percaya kenyataan Mohamed Salah mahu terus beraksi di Anfield sehingga tahun depan sebenarnya adalah ugutan buat kelab tersebut.
Fowler berpendapat, The Reds tidak boleh mengubah struktur gaji disebabkan mahu mengekalkan Salah dan ia antara faktor mereka ‘sengaja’ melengah-lengahkan rundingan kontrak baharu dengan bintang Mesir itu.
Situasi kontrak Salah di Anfield kini terus dikelilingi pelbagai spekulasi sejak penyerang berusia 30 tahun itu tamat tugasan bersama Mesir di Piala Negara-Negara Afrika pada Februari lalu.
“Jika Liverpool benar-benar mahukannya, sudah lama mereka berikan apa yang dia inginkan. Saya tak menyalahkan Salah kerana dia telah memenangi semua secara individu dan buat Liverpool.
“Saya fikir kenyataan Salah mahu kekal di Anfield biar apa sekalipun terjadi dengan situasi kontraknya, ia jelas satu ancaman. Perkiraannya adalah dia akan keluar secara percuma tahun depan.
“Ia akan membolehkan dia menerima gaji dan bonus yang lebih besar kerana tiada yuran perpindahan. Jadi, dia boleh dapat tahap gaji yang dimahukannya.
“Sekarang saya percaya Liverpool sudah mula bimbang dengan prestasi semasa Salah. Mungkin mereka mahu menunggu dahulu sehingga musim depan bermula atau sebaliknya,” kata Fowler.
Liverpool juga dikatakan bersedia menjual Salah daripada mengambil risiko kehilangannya secara percuma sebelum kontraknya tamat tahun depan biarpun baru sahaja membenarkan Sadio Mane menyertai Bayern Munich baru-baru ini. – AGENSI