PETALING JAYA – Pelakon senior, Mak Wan Latah enggan menggunakan saluran undang-undang bagi menangkis tuduhan seorang wanita, sebaliknya mengambil pendekatan bertenang dan menyifatkan individu yang juga kenalan rapatnya itu mempunyai masalah mental.
Mak Wan Latah atau nama sebenarnya, Halimatussa’adiah Mohd Daud berkata, lebih baik berdiam diri daripada mengeluarkan sebarang komen.
Ujarnya, pihak luar hanya tahu mengecam dan tidak tahu perkara sebenar.
“Saya tak nak cakap apa-apa. Biarkan dia. Itu otak dia tak betul. Dia nak buat apa-apa pun itu hak dia. Saya tak mahu komen lagi.
“Saya ada Allah. Allah tak fitnah saya. Kalau saya berkata pun kena kecam, tak bercakap pun tetap orang kecam. Sebab itu saya tak mahu berkata apa-apa,” katanya kepada Kosmo! Online.
Dramatis berusia 61 tahun itu mengulas tentang video-video dalam sebuah akaun TikTok seorang wanita, mendakwa itu adalah sikap sebenar Mak Wan yang kononnya panas baran, mengamalkan ilmu hitam serta mencuri wang.
Sekitar April lalu, nama pelakon itu turut hangat apabila perkahwinan yang dibina hanya bertahan selama tiga bulan.
Malah anak kepada bekas suaminya itu mendakwa perceraian tersebut berlaku disebabkan sikap kasar pelakon itu.
Dalam pada itu, Mak Wan mengakui isu yang ditularkan wanita tersebut mengakibat kerjaya seninya turut terkena tempias apabila namanya digugurkan daripada pembabitan beberapa buah drama.- KOSMO! ONLINE