fbpx

Waris sebak terima anugerah anak cemerlang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD FAOUZI sebak setelah mengambil anugerah yang diberikan kepada anaknya, Allahyarham Nur Diyana di UPSI baru-baru ini.

ISTIADAT Konvokesyen ke-23 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak yang bersidang baru-baru ini menyaksikan suasana hiba menyelubungi ruang Dewan Tuanku Canselor.

Ia selepas pengumuman dibuat mengenai penerima Anugerah Anumanta yang diberikan kepada waris seorang graduan cemerlang, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling.

Anugerah Anumanta itu diberikan selepas Allahyarham Nur Diyana Mohamad Fouzi yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada 22 Disember 2021.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pro Canselornya, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd. Dom kepada waris yang juga bapa kandung Nur Diyana, Mohamad Fouzi Megat, 54.

ALLAHYARHAM NUR DIYANA

Menurut Mohamad Fouzi, Allahyarham merupakan anak yang baik dan suka pada persaingan serta sering mencabar diri mengikut rentak persekitaran sekeliling.

“Bertugas sebagai penjawat awam beruniform, hidup berpindah randah merupakan lumrah bagi kami sekeluarga. Suatu ketika dahulu, ketika zaman remajanya, kami tinggal di utara tanah air sebelum berpindah ke Lembah Klang.

“Menyedari kepesatan di kawasan bandar yang amat pantas, Nur Diyana tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran.

“Hasil kegigihannya, dia mampu menyesuaikan diri. Sebagai contoh, dia tidaklah pandai dalam bahasa Inggeris, namun dengan semangat tinggi, Nur Diana memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek ini dalam SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” katanya.

Mohamad FOUZI (tengah) menerima ijazah Allahyarham anaknya, Nur Diyana daripada Alimuddin pada Istiadat Konvokesyen ke-23 UPSI
di Tanjung Malim baru-baru ini.

Mohamad Fouzi memberitahu, selepas tamat SPM, Nur Diyana menyambung pengajian dalam bidang sains di Kolej Matrikulasi Pengkalan Balak, Melaka dan mencapai keputusan amat membanggakan dengan pencapaian pointer 4.0 selama dua tahun berturut-turut.

Sementara itu, ibunya, Dalila Abu Bakar, 49, ketika ditemui tidak mampu menahan sebak sambil menyifatkan, anak kedua daripada tiga orang adik-beradik itu cukup pandai mengambil hati keluarga dan amat berdikari.

“Pemergian Allahyarham amat memilukan kami sekeluarga. Sepanjang hayatnya, dia tidak pernah membebankan kami dengan meminta duit belanja.

“Setiap kali tiba waktu cuti sekolah atau semester, dia akan buat kerja sambilan termasuk bekerja di pusat asuhan kanak-kanak dan menjaja makanan atau pakaian,” jelasnya

Menurut Dalila lagi, jiwa anaknya penuh dengan ihsan kepada anak-anak kecil dan suka membantu rakan-rakan sebaya yang berdepan konflik, sekali gus mendorong Nur Diyana mendalami bidang bimbingan kaunseling.

“Dia pernah membantu masalah rakan sebaya yang berdepan masalah sosial yang serius hingga kemelut konflik terlerai dengan baik.

“Ia ditambah dengan dorongan diberikan guru kaunseling di sekolah hingga menyebabkan Nur Diyana menyambung pengajian bimbingan dan kaunseling di UPSI,” ujar Dalila.

Sungguhpun usianya masih muda, Nur Diyana sangat menjaga silaturahim dengan sesiapa saja. Tidak berdendam walaupun ada orang pernah melakukan khianat kepadanya.

“Setiap kali ada ahli keluarga ditimpa musibah seperti penyakit, dia akan menawarkan diri untuk menjadi penjaga. Dijadikan cerita, saya ditimpa penyakit hingga perlu dibedah di hospital.

“Dia yang menggalas tanggungjawab menjadi pemandu berulang-alik ke hospital untuk rawatan cuci luka saya setiap hari,” ceritanya.

Menceritakan kembali detik pemergian Nur Diyana, Dalila berkata, pada mulanya anaknya mengadu sesak nafas, batuk-batuk dan selesema.

Imbaunya, selepas mendapat rawatan, Nur Diyana kembali pulih sehingga mampu berjoging, tetapi tidak lama selepas itu kesihatannya makin merosot.

Dia menambah, anaknya dikejarkan ke hospital kerana sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pembangunan Manusia, Prof. Madya Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim menyifatkan Nur Diyana seorang mahasiswi yang aktif dalam Persatuan Bimbingan dan Kaunseling UPSI dan sering memberi sumbangan dalam aktiviti pelajar.

“Saya mendapat maklumat daripada rakan-rakan tenaga pengajar yang juga pensyarahnya, Nur Diyana pandai seimbangkan masa dalam akademik mahupun aktiviti kokurikulum.

“Buktinya hari ini, keputusan Nur Diana cukup cemerlang dengan pointer 3.86,” jelasnya sambil memaklumkan, Allahyarham amat menjaga hubungannya dengan rakan-rakan sekampus dan menyifatkan kehilangannya amat dirasai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI