SHAH ALAM – Platinum Oil Sdn. Bhd. (Platinum Oil) mengunjurkan jualan bagi produk terbaharunya, minyak pelincir kenderaan Fully Synthetic 0W20 SN/Ci4 mencecah kepada 8,000 botol sebulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Platinum Oil, Datuk Seri Suhaimi Hashim berkata, melalui sokongan dan komitmen daripada lebih 300 ejen dan pengedarnya, nilai unjuran jualan itu bakal dicapai.
Menurut beliau, syarikat optimis terhadap produk minyak pelincir itu akan mendapat tempat di pasaran meskipun dalam keadaan ekonomi sukar kini.
“Kami telah menjalankan kajian dan pembangunan yang teliti untuk mengeluarkan produk yang dikuasakan dengan Teknologi Tanpa Geseran (ZFT),” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran minyak pelincir baharu itu di pejabatnya di Seksyen 23 di sini baru-baru ini.
Suhaimi menjelaskan, produk berformulasi Fully Synthetic 0W20 itu mampu melindungi enjin daripada suhu yang tinggi seterusnya meningkatkan prestasi dan tahap kecekapan enjin kenderaan dengan lebih optimum.
Tambah beliau, gred tersebut sesuai untuk kenderaan alaf baharu yang menekankan ciri mesra alam kerana ia menghalang dan membersihkan karbon yang boleh terbentuk sewaktu proses pembakaran dalam enjin, secara tidak langsung ia akan mengurangkan pembebasan karbon kepada alam sekitar.