fbpx

Pierre Gasly kekal kemudi jentera Alpha Tauri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GASLY berjaya berada di kedudukan ke-11 kategori pemandu setakat ini menyebabkan dia ditawarkan kontrak baharu oleh Alpha Tauri. – AFP

FAENZA, Itali – Pemandu Pe­rancis, Pierre Gasly terus mendapat kepercayaaan daripada Alpha Tauri untuk memandu jentera pasukan itu bagi saingan Formula Satu (F1) tahun depan.

Antara faktornya adalah kejayaan Gasly, 26, menyelinap ke tangga ke-11 carta keseluruhan pelumba dengan 16 mata daripada sembilan perlumbaan Grand Prix (GP) musim ini.

“Saya sudah bersama pasukan ini selama lima tahun. Saya sa­ngat berbangga dengan perjalanan dan kemajuan yang telah kami lakukan setakat ini.

“Peraturan baharu tahun ini memberikan cabaran baharu buat kami. Sekarang saya akan terus berusaha keras bersama pasukan bagi tempoh 18 bulan lagi,” kata Gasly.

Pencapaian terbaik Gasly musim ini adalah meraih tempat kelima GP Azerbaijan di Litar Baku awal bulan lalu di belakang juara dunia, Max Verstappen dari pasukan Red Bull, Sergio Perez (Red Bull), George Russell (Mercedes) dan Lewis Hamilton (Mercedes).

Prestasi itu menyebabkan Prinsipal Alpha Tauri, Franz Tost memberi jaminan tempat Gasly dalam pasukan musim depan bagi menamatkan spekulasi mengenai masa depannya sewaktu GP Kanada minggu lepas.

“Dia tergolong dalam kumpulan pelumba terbaik dan paling kompetitif, malah dia juga telah membuktikan kemampuannya sepanjang bersama kami.

“Tidak dinafikan dia boleh memainkan peranan penting untuk memastikan kami mengharungi musim cemerlang tahun depan. Sekarang terpulang kepada kami untuk menyediakan jentera terbaik buatnya,” jelas Tost. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI