SELEPAS menerima pelbagai reaksi sebaik sahaja menarik diri daripada menyertai temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022, perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri.
Tindakan pemain No.5 dunia itu dianggap merencatkan persiapan skuad badminton negara yang meletakkan sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya dua pingat emas pada temasya sukan empat tahun sekali itu.
Keputusan dibuat Zii Jia turut menarik perhatian beberapa bekas pemain negara termasuk Datuk Lee Chong Wei dan Datuk James Selvaraj yang menyifatkan Sukan Komanwel sebagai keutamaan berbanding Kejohanan Badminton Dunia.
“Berhubung isu tersebut, saya mahu jelaskan buat kali yang terakhir. Sekiranya anda jangka saya akan membalas kenyataan-kenyataan tersebut, harap maaf kerana saya tidak mahu menjawab.
“Saya adalah pemain profesional dan mahu jauhkan diri daripada isu-isu sedemikian. Selain itu, saya mahu jadi inspirasi kepada anak-anak muda di Malaysia,” katanya ketika ditemui di Arena Axiata, Bukit Jalil semalam.
Terdahulu, Chong Wei menyifatkan temasya-temasya sukan sentiasa menjadi keutamaan berbanding kejohanan individu manakala Selvaraj mempersoalkan semangat patriotik Zii Jia kerana lebih memilih Kejohanan Dunia berbanding Sukan Komanwel.
Sementara itu, Zii Jia menganggap isu yang sedang dihadapi ketika ini tidak mengganggu persiapannya bagi menghadapi Kejohanan Badminton Petronas Terbuka Malaysia di Arena Axiata bermula esok.
“Selepas dua tahun tidak bermain di sini (Arena Axiata), saya rasa tidak sabar untuk mulakan kejohanan walaupun ia sentiasa menjanjikan cabaran sukar. Memandangkan tiket hampir habis dijual, saya fikir ia satu petanda baik untuk badminton Malaysia.
“Selain itu, isu yang dihadapi ketika ini tidak ganggu saya untuk mempersiapkan diri menjelang Terbuka Malaysia. Saya tidak mahu fikir banyak kerana apa yang penting adalah untuk fokus terhadap permainan sendiri sahaja,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE