PETALING JAYA – Pelakon Sharifah Amani berkongsi berita gembira dirinya kini sudah bergelar tunangan orang.
Amani atau nama sebenarnya, Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya menerusi satu hantaran terbaharu Instagram memaklumkan perkara tersebut.
Bersama pengumuman mengejutkan berkenaan, pelakon filem Sepet itu berkongsi sekeping foto memaparkan jari manis kirinya menyarung sebentuk cincin merisik dengan kapsyen berbunyi: “Know know got fiance (tahu tahu dah ada tunang).
“Syukur Alhamdulillah. One step closer, till when when (satu langkah ke hadapan, sampai bila-bila).”
Bagaimanapun, belum dapat dipastikan identiti lelaki yang mengikat tali pertunangan dengan Amani, 37.
Usaha Kosmo! untuk mendapatkan perkongsian lanjut daripada aktres itu masih belum berbalas apabila apabila panggilan telefon dan pesanan WhatsApps tidak dijawab.
Menjengah ruangan komen Instagram wanita yang mesra dengan panggilan Nani itu, ramai dalam kalangan rakan selebriti yang berkongsi rasa bahagia seraya merakamkan ucapan tahniah terhadap dirinya.
“Nak nyanyi nanti untuk anda dan Encik Laju,” coret penyanyi, Naim Daniel.
“Alhamdulillah, sangat gembira untuk anda berdua,” tulis pelakon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Dira Abu Zahar.
Terdahulu, biarpun tidak pernah berkongsi wajah gerangan lelaki yang berjaya mencuri hatinya, Amani acap kali memberi bayangan hatinya sudah dimiliki apabila berkongsi hantaran status berbaur romantis menerusi Instagram.
Februari lalu, Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19) itu membuat ucapan hari lahir kepada seseorang tanpa menunjukkan wajahnya dalam sekeping foto menunjukkan tangan sedang digenggam erat.
Bersama perkongsian terbabit, Amani turut menyertakan kapsyen berbunyi: “I love you.” – KOSMO! ONLINE