IPOH – Pelajar lelaki tingkatan dua sebuah sekolah berasrama di Teluk Intan yang dibelasah 10 pelajar senior pada Khamis lalu dibenarkan keluar dari hospital semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa uyang cedera sebelum ini dirawat di Hospital Teluk Intan.
Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan retak tulang rusuk belakang serta kecederaan tisu lembut pada betis kanan, dada, belakang badan, kedua-dua lengan, dagu dan pipi.
“Ada kesan lecur ditekap seterika di belakang badan sebelah kanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mior Faridalathrash memberitahu, reman kesemua suspek tidak akan disambung dan mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis esok.
Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya Perak untuk arahan lanjut.
Kosmo! Online semalam melaporkan angkara cemburu seorang pelajar tingkatan dua cedera ditekap saterika panas selain dipukul sekumpulan pelajar senior, khamis lalu.
Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca selepas mangsa dikatakan berbual dengan seorang pelajar wanita yang juga teman wanita salah seorang suspek.
Mangsa dipukul oleh pelajar berusia 16 hingga 17 tahun di asrama sekolah berkenaan pada pukul 12.30 tengah malam sehingga 1 pagi. – KOSMO! ONLINE