fbpx

MUIP Holding tandatangani ikrar bebas rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Mustaqim (kiri) menyerahkan surat ikrar bebas rasuah kepada Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim di Kuantan semalam.

KUANTAN – Majlis Ugama Islam Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Holdings komited mengukuhkan integriti dalam sistem tadbir urusnya menerusi pemeteraian ikrar bebas rasuah (IBR).

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP Holdings, Ahmad Mustaqim Mohd. Zain berkata, pihaknya mengambil pendekatan mengadakan majlis lafaz ikrar dan menandatangani ikrar bebas rasuah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tanda mengukuhkan matlamat bebas rasuah dalam organisasi itu.

“Keruntuhan integriti akan menyebabkan berlaku pelbagai kepincangan seperti peningkatan amalan rasuah dan pecah amanah yang akan memberikan impak besar kepada individu, keluarga dan organisasi itu sendiri.

“Rasuah mungkin berlaku tanpa melibatkan wang ringgit, tetapi melalui perkara yang lain seperti penerimaan sumbangan, menyalahgunakan kuasa dan sebagainya,” katanya ketika berucap di sini semalam.

Ahmad Mustaqim berkata, pihaknya sentiasa berharap semua warga MUIP dapat menjauhkan diri daripada melakukan sebarang pelakuan rasuah sekali gus memperkasakan budaya intergriti dan bebas rasuah dalam perkhidmatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim berkata, integriti merupakan benteng utama ke arah membawa kecemerlangan sesebuah kerajaan dan organisasi.

Katanya majlis tersebut secara tidak langsung akan menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga kerja SPRM untuk terus berjuang bersama-sama melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam memerangi jenayah rasuah secara habis-habisan.

“Individu yang berintegriti tidak akan membiarkan kepentingan diri mengatasi kepentingan organisasi dan orang awam.

“Nilai integriti perlu dizahirkan dalam semua tindakan dan amalan samada melalui penampilan, sikap dan semasa membuat sesuatu keputusan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI