BALING – Seorang guru agama dan dua anak lelakinya dikhuatiri lemas selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam Sungai Ketil dalam kejadian di Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil di sini pada petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu mengakibatkan kereta dinaiki mangsa, Mashitoh Ibrahim, 37, bersama dua anaknya iaitu Mohd. Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Mohd. Ziyad Haziq, 5, dihanyutkan arus deras.
Guru agama tersebut dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Petani selepas menyertai gotong-royong di Sekolah Kebangsaan Kampung Selarong di Kuala Ketil di sini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketiga-tiga mangsa sedang giat dijalankan oleh pasukan penyelamat.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Syufa’at Kamaron memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 6.42 petang tadi.
“Kejadian melibatkan sebuah kereta jenis Proton Persona yang disyaki dinaiki tiga mangsa dan terdapat serpihan bumper kereta tersebut ditemui di bahu jalan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, keadaan sungai berarus deras dengan lebar kira-kira 100 meter, tinggi tebing tiga meter dan kedalaman melebihi tiga meter.
“Tindakan anggota penyelamat membuat pencarian di permukaan dan belum dapat mengesan kedudukan kereta tersebut.
“Penduduk kampung juga membantu menyusuri sungai bagi membantu operasi pencarian,” ujarnya.
Sementara itu, suami mangsa, Sharudin Aziz, 51, dia berharap isteri dan dua anak lelakinya dapat ditemui dengan segera.
“Anak sulung kami yang berusia 10 tahun terselamat kerana berada bersama saya ketika kejadian,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE