JAKARTA – Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa mengharamkan penggunaan vaksin Covid-19 Covovaxmirnaty yang dihasilkan oleh firma Serum Institute of India, lapor laman berita Tribunnews kelmarin.
Pada peringkat pengeluaran, vaksin itu didapati melibatkan penggunaan enzim daripada pankreas babi.
MUI menetapkan keputusan tersebut berdasarkan Fatwa No. 10 Tahun 2022 mengenai Undang-undang Vaksin Covid-19 di Indonesia.
Fatwa tersebut ditandatangani oleh Ketua Umum MUI, KH Miftachul Akhyar, Setiausaha Agung MUI, Buya Amirsyah Tambunan, Ketua Perwakilan Fatwa MUI, Prof Hasanuddin AF dan Setiausaha Perwakilan Fatwa MUI, KH Miftahul Huda.
Pun begitu, fatwa MUI yang dikeluarkan pada 7 Februari 2022 menggariskan enam perkara yang perlu ada pada vaksin Covid-19 sebelum diberikan kepada penduduk republik berkenaan.
Tiga daripadanya menekankan kepentingan semua bahan yang digunakan dalam pembuatan vaksin tersebut perlu dijamin halal. – Agensi