fbpx

PM arah segerakan kemasukan pekerja asing elak kerugian berbilion – Mustapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mustapa (tengah) pada Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Ke-76 di Banda Hilir hari ini.

MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan kelulusan permohonan pekerja asing disegerakan bagi mengelakkan sektor ekonomi negara mengalami kerugian membabitkan nilai berbilion ringgit.

Perkara itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang hadir mewakili Ismail bagi merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Ke-76 di Banda Hilir di sini, hari ini.

Menurutnya, beberapa sektor utama dalam negara kini berdepan dengan isu kekurangan tenaga kerja termasuk golongan pekerja warga asing yang diperlukan.

Ujarnya, Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sedang menangani isu tersebut dengan meluluskan kira-kira 266,000 orang pekerja asing, namun setakat 10 Jun lalu, hanya 19,000 tenaga kerja telah memasuki Malaysia.

“Kerajaan komited untuk bersama-sama pihak swasta dalam menangani isu kekurangan pekerja ini untuk menyokong pemulihan sektor perniagaan.

“Kita telah meminta proses kelulusan permohonan pekerja asing disegerakan supaya tidak menjejaskan pemulihan ekonomi, yang boleh menyebabkan kerugian berbilion-bilion ringgit kepada industri dan kerajaan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama.

Ujarnya, bagi rancangan masa panjang, kerajaan bagaimanapun akan bekerjasama dengan komuniti perniagaan untuk mengurangkan kebergantungan yang berlebihan kepada pekerja asing.

“Usaha ini adalah dengan melalui penggunaan teknologi dan automasi serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja peringkat domestik.

“Semua industri, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digesa mengambil peluang pelbagai kemudahan kewangan serta geran disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan untuk menyokong automasi dan pendigitalan ke arah mencapai Industri 4.0,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI