TEHRAN – Polis Iran menahan sebilangan remaja perempuan yang tidak bertudung pada satu acara papan selaju termasuk pihak penganjur di bandar Shiraz, lapor portal berita MailOnline semalam.
Sebilangan remaja perempuan menanggalkan tudung mereka pada akhir acara sukan itu tanpa mematuhi aspek agama dan norma undang-undang, lapor agensi berita IRNA yang memetik kenyataan ketua polis Shiraz, Faraj Shojaee.
Lima orang diberkas kerana menganjurkan acara itu. Berpuluh-puluh remaja turut ditahan kerana bergaul bebas dan melanggar garis panduan agama Islam.
Sejumlah individu terbabit dan penganjur dikenal pasti dan ditahan kelmarin.
Sebuah klip video yang memaparkan acara dinamakan Go Skateboarding Day dan diadakan pada Selasa lalu itu tular di media sosial.
Ia mencetuskan kemarahan pihak berkuasa agama di Iran di mana pemakaian tudung adalah wajib untuk wanita dan remaja perempuan Islam.
“Mengadakan mana-mana perhimpunan sukan atau bukan sukan tanpa mematuhi norma agama dan undang-undang adalah dilarang dan penganjur akan dihukum mengikut undang-undang,” tambah Shojaee. – Agensi