LIVERPOOL – Gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool mungkin terpaksa melepaskan khidmat Mohamed Salah pada jendela perpindahan kali ini sekiranya menerima tawaran yang berpatutan.
Salah dilaporkan terus mendesak pihak pengurusan pasukan itu untuk bersetuju dengan permintaan gaji mingguan berjumlah £400,000 (RM2.15 juta) untuk dia menandatangani kontrak baharu dan kekal di Anfield.
Bagaimanapun, kelab itu didakwa enggan menuruti permintaan berkenaan ketika jumlah berkenaan melebihi £240,000 (RM1.29 juta) gaji mingguan yang diterima pemain yang meraih pendapatan paling tinggi di Liverpool, Virgil Van Dijk.
Situasi berkenaan menyebabkan The Reds terpaksa meletakkan tanda harga bernilai £60 juta (RM323.93 juta) untuk mana-mana pasukan mendapatkan khidmat Salah dan terdesak menjualnya pada jendela perpindahan kali ini.
Mereka perlu segera membuat keputusan tersebut bagi mengelak terpaksa melepaskan pemain antarabangsa Mesir itu secara percuma musim panas tahun hadapan ketika kontraknya berakhir ketika itu.
Real Madrid menjadi antara pasukan yang sedang memantau secara dekat perkembangan Salah dan mungkin akan membuat bidaan selepas sejak sekian lama mengintai peluang untuk membawa pemain itu ke Santiago Bernabeu.
Perkembangan terbaharu itu sekali lagi memberi tamparan buat Liverpool selepas mereka turut kehilangan seorang lagi tonggak penting, Sadio Mane yang memilih untuk berhijrah ke Bayern Munich.
Bagaimanapun, pengendali pasukan itu, Jurgen Klopp telah membuat persediaan untuk kehilangan beberapa tonggak penting dengan membawa masuk beberapa pemain baharu seperti Darwin Nunez dan Fabio Carvalho. – AGENSI