fbpx

300,000 tentera tidak berpencen tunggu keputusan elaun sara hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad (tengah) berbual dengan ahli jawatankuasa PVATTBM selepas merasmikan Persidangan Mesyuarat Agong PVATTBM Kali Ke-4 di Kubang Kerian, Kota Bharu hari ini. - Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Lebih 300,000 ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) masih menunggu keputusan berhubung permohonan yang melayakkan mereka menerima elaun sara hidup bulanan sebanyak RM300 hingga RM500 daripada kerajaan.

Ahli Jawatankuasa PVATTBM, Kamarul Bahrin Kamaruddin berkata, keputusan itu amat ditunggu-tunggu berikutan kebanyakan bekas tentera yang tidak menerima pencen itu tiada sebarang elaun malah sebahagian daripada mereka hidup melarat.

Menurutnya, sehubungan itu, PVATTBM berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan yang memberi kelayakan kepada golongan tersebut di seluruh negara.

“Kita sudah mengadakan perhimpunan aman yang memohon kerajaan memberi elaun sara hidup setiap bulan kepada bekas tentera yang tidak berpencen.

“Elaun yang dipohon juga tidak tinggi apabila kita mencadangkan sebanyak RM300 hingga RM500 sebulan bagi bekas tentera yang berusia antara 60 hingga 90 tahun.

“Ini kerana, saya difahamkan masih ramai bekas tentera yang hidup melarat malah ada yang sampai tinggal atas pokok kerana tiada tempat tinggal. Ada dalam kalangan bekas tentera sudah meninggal dunia akibat menghidap penyakit kronik sekali gus tidak sempat menikmati elaun yang masih dalam pertimbangan kerajaan,”katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Mesyuarat Agong PVATTBM Kali Ke-4 di Kubang Kerian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarul Bahrin yang juga wakil Presiden PVATTBM berkata, pihaknya amat terkilan kerana kerajaan seolah-olah tidak cakna dengan pengorbanan bekas tentera atas jasa yang dilakukan sebelum ini.

Menurutnya, selain itu, PVATTBM juga berharap kerajaan terus mengurniakan Pingat Jasa Malaysia kepada bekas tentera yang tidak berpencen bagi melayakkan mereka menerima elaun sebanyak RM500 sebulan.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, Bekas tentera tidak berpencen di Kedah dan Johor paling ramai hidup melarat.

“Justeru, kita berharap kerajaan dapat mempercepatkan permohonan dalam usaha untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu bekas tentera yang tidak berpencen,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI