KELAB Petaling Jaya (PJ) City FC berdepan tugas yang cukup sukar kerana bakal berdepan juara bertahan yang juga pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam esok.
Penyerang sensasi PJ City, Mohd. Safee Mohd. Sali mengakui, jentera serangan JDT sememangnya berada pada tahap terbaik dengan kejayaan membelasah dua gergasi menerusi kemenangan 7-0 ke atas Perak dan 6-1 terhadap Selangor.
Bagaimanapun, bekas penyerang Harimau Malaya itu menegaskan, dia dan rakan-rakan sepasukannya akan memberikan prestasi paling baik agar dapat mencuri sekurang-kurangnya satu mata ke atas bekas juara Piala AFC tersebut.
“Kami sedar JDT adalah sebuah pasukan yang sukar dihalang, lagi-lagi prestasi bahagian serangan mereka cukup berbisa ketika ini. Jadi, kami mengharapkan satu keajaiban akan berlaku malam esok.
“Kami perlu ada pelan sendiri dan cuba mengambil kesempatan bermain di tempat sendiri. Kami akan cuba beri sebaik mungkin supaya dapat menyelamatkan PJ City dari zon bawahan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebagai rekod, skuad bimbingan K. Devan itu ketika ini menduduki tempat ke-10 iaitu tangga ketiga tercorot Liga Super dengan tujuh mata hasil satu kemenangan, empat seri dan tiga kekalahan.
Bagaimanapun, keputusan mengikat Melaka United 1-1 di Stadium Hang Jebat pada Ahad lalu meningkatkan motivasi barisan pemain PJ City untuk cuba mencipta kejutan ke atas JDT malam ini. – K! ONLINE