fbpx

Gadai nyawa guna jeti uzur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN jeti kayu yang kelihatan uzur dan masih digunakan nelayan serta kaki pancing di Pondok Batu Uban 2, Gelugor, Pulau Pinang. – AMIR IRSYAD OMAR

Oleh HASLIZA NUSI

GEORGE TOWN – Nelayan dan pemandu bot pancing di Pondok Batu Uban 2 di sini bimbang me­ngenai keselamatan diri mereka apabila laluan di jeti terapung berkenaan usang dan pernah beberapa kali rosak akibat dipukul ribut.

Tinjauan Kosmo! semalam men­dapati, struktur jeti yang diperbuat daripada kayu dan menggunakan tong plastik sebagai pelampung hampir reput dan patah.

Seorang kaki pancing dikatakan terjatuh ke laut semasa menuju ke bot yang diletakkan di tepi jeti berkenaan, namun dapat diselamatkan beberapa pekerja yang melihat kejadian tersebut kelmarin.

Wakil nelayan, Ramli Baha­rom, 67, berkata, dia bimbang keselamatan dirinya dan rakan-rakan yang menggunakan laluan tersebut setiap hari.

Selain nelayan, laluan ber­kenaan turut digunakan oleh kaki pan­cing yang menggunakan per­khidmatan bot untuk ke tembok ba­wah Jambatan Pulau Pinang, Pulau Jerejak, Pulau Rimau dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

“Jeti berusia 18 tahun ini pernah dihanyutkan air dalam kejadian ribut kira-kira tiga bulan lalu dan rosak akibat fenomena air laut pasang.

“Setiap kali rosak atau patah, saya mengupah orang untuk membaiki dan menampal semula dengan kayu menggunakan wang poket sendiri,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui semalam.

Menurut Ramli, dia terpaksa berusaha mencari jalan untuk membaiki jeti berkenaan secepat mungkin kerana bimbang ke­adaan yang usang akan menjejaskan rutin nelayan turun ke laut.

Selain itu, dia juga bakal kehilangan pendapatan kerana kaki pancing tidak lagi menggunakan per­khidmatannya botnya untuk ke destinasi mereka.

“Sekiranya tidak dibaiki, ba­gaimana dengan nasib kami (nelayan) kerana jeti ini merupakan laluan utama kami pada setiap hari.

“Saya juga bimbang mengenai keselamatan pelanggan ketika berjalan di atas jeti terapung ini. Mereka perlu lebih berhati-hati,” katanya.

Dalam pada itu, Ramli yang menjadi nelayan sejak 50 tahun lalu mendakwa, masalah me­ngenai jeti itu pernah disuarakan kepada wakil rakyat di kawasan ber­kenaan namun masih tiada maklum balas setakat hari ini.

“Saya merayu agar pihak kerajaan negeri dapat membantu demi ke­selamatan nelayan dan kaki pancing.

“Dengan adanya kemudahan yang lebih baik, ia membantu meningkatkan sumber pendapatan nelayan di kawasan ini,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI