KEPULAUAN ANTILLES KECIL, CARIBBEAN – Sekumpulan saintis menemui bakteria terbesar di dunia dengan organisma itu memiliki panjang 1 sentimeter, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Bakteria Thiomargarita magnifica itu ditemui pada daun yang tenggelam di dalam paya bakau Guadeloupe di Kepulauan Antilles Kecil, rantau Caribbean.
Hidupan itu berupa filamen putih nipis seperti bihun dan mengandungi butir mikroskopik yang berkilau seperti mutiara.
Organisma ‘gergasi’ itu adalah beribu-ribu kali lebih besar daripada bateria lain dan boleh dilihat dengan mata kasar.
Thiomargarita magnifica menepis kepercayaan sebelum ini bahawa mikrob hanya boleh dilihat dengan menggunakan mikroskop.
“Ia 5,000 kali lebih besar daripada kebanyakan bakteria lain.
“Sebagai perbandingan, ukuran bakteria ini adalah seperti manusia bertemu manusia lain yang sebesar Gunung Everest.
“Dari segi metabolisme, bakteria ini melakukan kemosintesis iaitu proses mirip fotosintesis untuk tumbuhan,” kata ahli biologi marin di Makmal Kebangsaan Lawrence Berkeley di California, Jean-Marie Volland.
Organisma itu pada asalnya ditemui dalam tahun 2009 oleh Olivier Gros dari Universiti Antilles Perancis di Pointe-a-Pitre, Guadeloupe.
Akan tetapi, penemuan itu pada awalnya tidak menarik banyak tumpuan. Disebabkan saiznya yang besar, Gros pada masa itu menganggap organisma itu sejenis kulat.
Gros dan penyelidik-penyelidik lain mengambil masa lima tahun untuk mengesahkan bahawa spesies itu sebenarnya adalah bakteria.
Penemuan itu diterangkan dalam kertas saintifik pracetak pada Februari lalu dan kini diterbitkan dalam jurnal Science. – Agensi