PETALING JAYA – Tular sebuah video memaparkan adegan seorang pelakon terbaring di atas katil pesakit dengan keadaan intubated (tiub pernafasan dimasukkan ke dalam rongga pernafasan) menjadi persoalan orang ramai dan rata-ratanya memberi pandangan melucukan.
Ini kerana, situasi tersebut dianggap sama seperti seseorang yang sedang menikmati minuman berasaskan boba atau ‘bubble tea’ sambil baring di atas katil.
Selain itu, ada penonton yang menyamakan adegan drama tersebut seperti aksi seorang penyelam yang sedang melakukan ‘scuba diving’ di tengah laut.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati orang ramai turut berkongsi serta memuat naik potongan adegan dari babak akhir drama Melayu tersebut dengan pelbagai kapsyen menarik.
“Drama Melayu sekarang makin pelik-pelik, rasa lucu walaupun babak sedih yang ingin disampaikan, tengok la straw air boba dimasukkan dalam mulut pesakit, baik letak je air boba, sedap sikit,” kata Muiz.
“Tengah menyelam sambil tidur ke bang, lawak-lawak drama Melayu kita, tak buat kajian dulu sebelum berlakon ke macam mana,” seloroh seorang pengguna. – KOSMO! ONLINE