SEHARI dua ini isu silibus murid darjah satu hangat diperkatakan. Sebenarnya bukan darjah satu tetapi semua murid sekolah rendah mengalaminya.
Ibu bapa terpaksa reda dengan isu itu tetapi sebenarnya sangat bersyukur apabila ada seorang guru terang-terangan menyuarakannya di media sosial sehingga ia menjadi hangat.
Semoga ada pihak yang melihat balik perkara ini agar anak-anak tidak menjadi ‘tikus makmal’ seperti yang didakwa ramai.
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang diperkenalkan enam tahun dahulu memang susah hendak difahami dalam erti kata lain kalau anak ada kerja rumah memang ‘bersilat’ ibu bapa hendak mengajarnya.
Itu ibu bapa, kalau guru di sekolah tidak tahu macam mana ‘bersilat’ dia hendak mengajar 40 orang murid sekelas dalam satu masa.
Perkara ini dialami penulis sendiri kira-kira enam tahun lalu apabila anak merupakan batch pertama KSSR tetapi ketika itu tiada Covid-19, tiada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Tetapi tetap bersilat ketika membantu anak membuat kerja sekolah soalan bundar nombor dan nombor lebih atau kurang.
Jika soalan nombor puluh terdekat juga tidak kurang susah hendak fahamkan IQ budak umur tujuh tahun.
Sekarang anak penulis itu sudah darjah enam, timbul pula soal apa itu takaful dan rebat. Sudah diterangkan 10 kali apa itu takaful dan rebat tetapi muka tetap macam tidak faham. Redalah anak-anak.
Tahun lepas adalah tahun yang mencabar bukan sahaja sebab pandemik tetapi apabila seorang lagi anak darjah satu belajar dalam suasana PdPR.
Penulis pernah ‘end PdPR’ subjek matematik disebabkan anak memang ‘kelaut’ dan tidak faham apa yang diajarkan guru ketika itu.
Subjek ketika itu yang diajar adalah bundar nombor, macam-mana hendak fahamkan seorang budak berumur 7 tahun dengan silibus aras tinggi begitu dengan mudah, tambahan pula dengan PdPR.
Kesimpulannya murid darjah dua tahun ini diibaratkan seperti murid darjah satu sahaja kerana mereka masuk alam sekolah rendah ketika pandemik.
Sangat sukar dan memang sukar, bayangkan cikgu-cikgu dalam kelas dengan murid yang ramai, ibu bapa dengan seorang anak sudah tertekan.
Bayangkan murid itu dalam keluarga yang tidak ambil peduli, mereka akhirnya hanyut dari darjah satu, kalau kaya boleh hantar tuisyen, kalau tak kaya, reda saja. -KOSMO! ONLINE