KUALA LUMPUR- Sebuah kedai makan hangus 80 peratus selepas terlibat dalam satu kebakaran di Jalan Rahmat di sini, pagi tadi.
Menurut jurucakap Pusat Operasi Gerakan Bomba Kuala Lumpur, pihak bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira 7 minit selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.32 pagi.
Menurutnya, seramai 13 anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Sentul dan Titiwangsa berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh 7 minit.
“Operasi tamat pada pukul 10.45 pagi selepas mendapati tiada lagi punca bara api termasuk semua punca kebakaran telah terpadam, kebakaran melibatkan 1 lot gerai makan yang berkeluasan 20 x 30 kaki persegi.
“Kemusnahan kebakaran dianggarkan 80 peratus. Kita menggunakan pancutan air dari tangki jentera bomba sehingga api padam sepenuhnya, “katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Menurutnya, anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE