ALOR GAJAH – Seorang pemuda maut selepas kereta dipandunya terbabas dan berpusing merempuh sebuah lori di Jalan Bukit Merchant, Pulau Sebang di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Muhammad Asraf Fitri Zainudin, 21, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang memandu kereta jenis Proton Wira dalam perjalanan dari arah Tampin ke Alor Gajah.
“Setiba di lokasi kereta dipandu mangsa telah hilang kawalan ketika menuruni kawasan berbukit sehingga berpusing masuk ke laluan bertentangan lalu berlanggar dengan sebuah lori di bahagian sisi kiri kenderaan.
“Akibat kemalangan itu mangsa telah tersepit dan mengalami kecederaan di seluruh anggota badannya,” katanya.
Jelasnya, mangsa dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah.
Tambahnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Alor Gajah pada pukul 12 tengah hari.
“Mayat diserahkan ke Unit Forensik bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Ramli Yusof berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 10.02 pagi dan sepasukan 10 anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian kita dapati terdapat seorang lelaki tersepit dan pasukan bomba mengambil masa kira-kira 18 minit untuk mengeluarkannya,” katanya. -KOSMO! ONLINE.