NYON, Switzerland – Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah meluluskan permohonan semua pasukan yang bertanding pada kejohanan Piala Dunia 2022 di Qatar nanti untuk membawa jumlah maksimum 26 pemain dalam skuad utama.
Perkara itu didedahkan oleh badan induk bola sepak dunia itu dalam satu kenyataan semalam sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan komuniti antarabangsa masih belum bebas dengan pandemik Covid-19 ketika ini.
Ini bukanlah kali pertama situasi ini berlaku kerana sejak Covid-19 melanda dunia dua tahun lalu, beberapa kejohanan bola sepak antarabangsa turut mengambil langkah yang sama dengan meningkatkan jumlah pemain berbanding 23 senarai asal.
Antaranya adalah saingan Euro 2020 yang mana Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) turut membenarkan 26 pemain disenaraikan, manakala saingan Copa America dan Piala Negara-Negara Afrika pula meletakkan kelonggaran 28 pemain.
“Keputusan ini dibuat bagi membolehkan 32 pasukan yang bertanding mengambil langkah berjaga-jaga seandainya ada kluster yang akan muncul sepanjang penganjuran Piala Dunia di Qatar nanti. Semua 15 pemain tersebut juga boleh diletakkan dalam senarai simpanan,” kata kenyataan tersebut.
Sebelum ini, antara yang lantang bersuara adalah Ketua Jurulatih England, Gareth Southgate yang berharap FIFA memberi kelonggaran dengan membawa tambahan pemain untuk menyertai kejohanan yang berlangsung pada November depan.
“Saya bukan sahaja berharap untuk FIFA bersetuju bagi semua negara mendaftarkan 26 pemain utama dalam pasukan, malah saya mahu setiap pemain tersebut boleh disenaraikan dalam hari perlawanan dengan 15 pemain berada di bangku simpanan,” katanya. – AGENSI