DUNGUN – Seorang penternak kambing tergamam menemui seekor ular sawa sepanjang enam meter di dalam kandang kambingnya di Kampung Durian Mentangau di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.40 petang itu, ular sawa seberat 110 kilogram tersebut dalam keadaan kekenyangan selepas dipercayai menelan seekor kambing peliharaan lelaki tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Mohd. Aidil Khairim Abdul Wahab berkata,
sepasukan anggota bomba telah bergegas ke kandang kambing tersebut selepas menerima daripada penternak berusia 50-an berkenaan.
“Operasi menangkap ular terbabit melibatkan enam anggota bomba dengan bantuan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Mereka mengunakan peralatan khas bagi menangkap ular sawa yang bersaiz besar berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Aidil Khairim berkata, seramai 10 anggota bomba dan APM tersebut mengambil masa hampir 30 minit bagi menumpaskan ular sawa itu.
Tambahnya, mereka kemudiannya melepaskan semula haiwan reptilia berkenaan ke habitat asalnya di hutan berhampiran. – KOSMO! ONLINE