PETALING JAYA – Seorang wanita hamil kecewa apabila tidak diberikan tempat duduk ketika menaiki tren pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT) semalam.
Wanita yang dikenali sebagai Rose mendakwa, dia sudah penat apabila setiap hari terpaksa meminta tempat duduk daripada penumpang lain di dalam tren meskipun sudah melekatkan tag mengandung pada beg miliknya.
Rose amat berharap agar semua penumpang sentiasa cakna dengan memberi keutamaan tempat duduk terutamanya bagi wanita mengandung serta warga emas.
Rakaman video berdurasi 11 saat yang dikongsi wanita itu di akaun TikTok telah mendapat reaksi daripada pengguna media sosial di ruangan komen.
“Jangan penat minta tempat duduk, masa minta cakap kuat-kuat. Ibu saya pernah buat masa dia mengandung dahulu, nanti semua penumpang akan bangun,” pesan seorang pengguna.
“Zaman sekarang orang sudah tak peduli mengandung atau orang tua. Dia buat tak tahu sahaja,” kata seorang pengguna lain.
Dalam pada itu, seorang ibu mengandung juga berkongsi pengalamannya sewaktu mengandung yang terpaksa berebut-rebut tempat duduk dengan penumpang lain di dalam tren.
“Saya sudah serik apabila mengandung terpaksa naik tren,” luah wanita berkenaan. – KOSMO! ONLINE.