KUALA LANGAT – Permintaan terhadap alas memotong daging di sekitar daerah ini meningkat menjelang ibadah korban selaras peralihan fasa endemik negara.
Kebanyakan alas tersebut diperbuat daripada pokok cempedak yang mudah diperoleh di daerah ini.
Usahawan kayu api dari Kampung Kebun Bharu, Jumali Sapar,62, berkata, setakat ini telah menerima lebih 100 unit alas pemotong daging daripada jawatankuasa surau dan masjid malahan serta penternak lembu.
Katanya, alas pemotong daging setebal 10 sentimenter (cm) itu dijual pada kadar RM30 seunit.
“Selepas dua tahun ibadah korban kurang diadakan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19 tahun ini ibadah korban kembali meriah.
“Alhamdulillah, permintaan alas pemotong daging kembali meningkat dan menjadi sumber rezeki kepada saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kebun Bharu, hari ini.
Jumali yang telah berkecimpung dalam perniagaan kayu selama 20 tahun menjelaskan pihaknya turut menjual papan pemotong untuk meracik daging setebal 3cm juga pada harga RM30 seunit.
“Harga itu berpatutan memandangkan
kerja melicinkan keseluruhan satu alas kayu memakan masa selama 30 minit.
“Selain pokok cempedak, kita juga boleh menggunakan pokok Akasia dan getah,” katanya. -KOSMO! ONLINE.