fbpx

Nelayan terjatuh bot ditemui lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang nelayan ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh di jeti kilang ikan di Kampung Acheh, Sitiawan, petang tadi.

LUMUT – Seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dari bot ketika melakukan kerja pemunggahan ikan di jeti sebuah kilang pemprosesan ikan di Kampung Acheh, Sitiawan ditemui lemas petang tadi.

Mayat mangsa, Ahmad Sukri Salleh, 35, dijumpai pada kedalaman 4.5 meter di lokasi sama dia dilaporkan terjatuh oleh orang ramai yang membantu mencarinya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Khairul Azizi Kamarudin berkata, pasukan itu menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.57 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Kami difahamkan ketika kejadian mangsa bersama beberapa rakan sedang memunggah kotak ikan dari bot untuk diletakkan di atas jeti.

“Mangsa dikatakan berada di atas bot, manakala rakannya di atas jeti menerima kotak ikan tersebut dan mengalihkan ke tempat lain, apabila tiba-tiba mendapati mangsa sudah tiada di atas bot,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Khairul Azizi berkata, rakan mangsa memberitahu ketika kejadian enjin bot sedang berfungsi dan kemungkinan bunyi bising daripada enjin tersebut menyebabkan mereka tidak menyedari mangsa telah terjatuh ke dalam laut.

Menurut beliau, rakan mangsa cuba mencarinya namun tidak berjaya sebelum menghubungi pasukan bomba untuk mendapatkan bantuan lanjut.

Kata beliau, mangsa yang disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.55 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi mengesahkan kejadian itu dan penemuan mayat mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI