fbpx

Malayan Tigress ‘dibelasah’ Bangladesh 6-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain Bangladesh meraikan jaringan yang dilakukan selepas menewaskan Malaysia 6-0 pada aksi persahabatan sebentar tadi.

PETALING JAYA – Skuad bola sepak wanita kebangsaan memulakan persiapan ke kancah Piala AFF Wanita 2022 dengan langkah sumbang selepas dibelasah 0-6 kepada Bangladesh pada aksi persababatan antarabangsa sebentar tadi.

Pada perlawanan di Stadium Bir Sherestha Shaheed Shipahi Mostafa Kamal, Dhaka itu, skuad Malayan Tigress kendalian Jacob Joseph membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan pemain-pemain utama seperti Steffi Kaur dan Jessica Susanne.

Namun, pasukan tuan rumah bermula garang apabila meraih gol seawal minit ke-10 hasil sepakan penjuru yang berjaya disudahkan oleh Mossamat Akhi Khatun.

Bangladesh yang berada di ranking ke-146 dunia terus ghairah memburu gol dengan memanfaatkan peluang terhidang yang disempurnakan oleh Sabina Khatun pada minit ke-25.

Mossamat membuktikan ketajaman selaku penyerang berbisa tuan ruman apabila menambah dua gol (minit ke-29 dan m-44) sekali gus melengkapkan jaringan hatrik sebelum berakhir babak pertama.

Bersambung pada separuh masa kedua, skuad negara berusaha untuk bangkit tetapi Bangladesh pula semakin rancak menambah gol kelima hasil jaringan Monika Chakma pada minit ke-66.

Pasukan tuan rumah yang dikendalikan oleh Gollam Robbani melengkapkan kemenangan bergaya dengan gol terakhir menerusi ledakan Srimoti Krishnarani berselang lapan minit kemudian dan keputusan 6-0 kekal sehingga wisel penamat.

Skuad negara akan bertemu Bangladesh sekali lagi pada aksi persahabatan kedua Ahad ini sebelum berlepas me Filipina untuk mengharungi kejohanan Piala AFF Wanita 2022.

Skuad kebangsaan yang menduduki ranking ke-85 dunia akan memulakan kempen di Manila menentang Singapura pada 4 Julai, manakala Indonesia (6 Julai), Filipina (8 Julai), Thailand (10 Julai) dan Australia (12 Julai). – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI