fbpx

Ibu tunggal cekal jaga dua anak OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASZURA (kanan) bersama Nur Alia Maisarah (kiri) dan Nur Hidayah di kediaman mereka di Blok MR, Taman Minang Ria, Cheras semalam.

PETALING JAYA – Membesarkan tiga anak di ibu kota bukanlah mudah bagi seorang ibu tunggal, apatah lagi dua daripadanya berstatus orang kelainan upaya (OKU).

Cabaran itulah perlu ditempuhi Maszura Osman, 46, bersama tiga orang anaknya sejak setahun lalu.

Menurutnya, dua daripada anaknya iaitu Nur Alia Maisarah Saifuddin Zuhri, 17, dan Nur Hidayah, 15, masing-masing merupakan OKU dengan masalah saraf dan pembelajaran.

“Seorang lagi anak saya, Mohammad Zarif, 14, kini belajar di sekolah tahfiz di Damansara. Bukan mudah tetapi sebagai ibu ia perlu dilakukan.

“Dua anak OKU saya perlukan perhatian sepanjang masa kerana mereka tidak boleh ditinggalkan bersendirian,” katanya ketika ditemui di Blok MR, Taman Minang Ria, Cheras semalam.

Mengulas lanjut, Maszura berkata, Nur Alia Maisarah tidak mampu untuk menyempurnakan urusan seperti mandi, membuang air, makan serta memakai pakaian.

Katanya, penyakit saraf membuatkan pergerakannya terbatas dan dia perlu dipapah untuk ke mana-mana.

“Mujurlah adiknya boleh berdikari walaupun tetap memerlukan pengawasan,” katanya.

Bagaimanapun, ujarnya, Nor Hidayah tetap memberi cabaran kepadanya walaupun dalam bentuk yang berbeza berbanding Nur Alia Maisarah.

“Adiknya kuat mengamuk serta agak agresif,” katanya.

Begitupun ujarnya, dia tidak ada masalah untuk membawa mereka keluar rumah serta menaiki kenderaan awam.

Dalam pada itu, menurut Maszura, dia berhadapan masalah untuk menyara kehidupan gara-gara kehilangan pekerjaan akibat Covid-19 sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang.

“Ketika ini, anak sulung menerima bantuan zakat bernilai RM450 sebulan. Jiran-jiran di sini turut membantu kami sekeluarga,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubunginya di talian 013-896 1452/010-274 9871 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Muamalat iaitu 14020021529727 atas nama Maszura Osman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI