SEBERANG PERAI – Seorang lelaki tempatan ditahan bersama kira-kira 400 liter minyak diesel yang dipercayai diseleweng menggunakan sebuah lori di Taman Permai Jaya, Bukit Mertajam di sini semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, A. Mogan berkata, serbuan kira-kira pukul 6.30 petang semalam itu dibuat hasil daripada maklumat awam.
Menurut Mogan, turut dirampas dalam serbuan itu adalah dua tangki simpanan berkapasiti 2,000 liter serta satu unit motor pam yang digunakan untuk menjalankan kerja penyelewengan berkenaan.
“Lori jenis ‘bonded’ berjenama Daihatsu itu turut disita dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM22,160,” katanya kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sehubungan itu katanya, KPDNHEP mengingatkan bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi tanpa kompromi. KOSMO! ONLINE