Oleh YATIMIN ABDULLAH
RANTAU PANJANG – Cubaan menyeludup keluar minyak masak dan pelbagai barangan berasaskan lembu seperti daging, hati, perut dan limpa ke negara jiran berjaya digagalkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 di pangkalan haram Jelutong pagi tadi.
Rampasan berjumlah lebih RM90,000 termasuk tiga buah kereta sorong itu dilakukan di sebuah rumah kosong di kawasan tersebut.
Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7, Superitendan Azhari Nusi berkata, serbuan pada pukul 5.45 pagi itu hasil rondaan rutin yang dijalankan oleh pasukannya.
Menurutnya, semasa rondaan anggota PGA ternampak sebuah rumah kosong berhampiran kawasan berkenaan.
“Hasil pemerhatian yang dijalankan mendapati sekumpulan lelaki sedang menolak kereta sorong yang berisi beberapa buah kotak ke arah tebing sungai.
“Sejurus anggota PGA memperkenalkan diri, semua lelaki tersebut bertindak pantas melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu,” katanya.
Azhari memberitahu, pemeriksaan keatas rumah itu telah membawa kepada penemuan 71 kotak minyak masak.
Katanya, selain itu PGA turut menemui pelbagai jenis barangan berasaskan lembu seberat 3.1 tan.
“Siasatan awal mendapati kesemua barangan yang dirampas itu cuba diseludup ke negara jiran menggunakan pangkalan haram.
“PGA tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara,” ujarnya.-K!ONLINE