fbpx

Umar Uzair harap lagu puisi dimainkan radio

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIARPUN bergerak bebas memperjuangkan puisi dalam lagu, Umar Uzair tetap menyimpan impian lagu-lagu puisi nyanyiannya turut berputar di corong radio.– MOHD. IQBAL ROSLI

 

KEHADIRAN penyanyi bertubuh tegap itu dalam arena seni suara mungkin kurang dikenali biarpun mendakwa telah bertapak dalam industri sejak 10 tahun lalu.

Tidak pernah berkecil hati mahupun menghentikan langkah dalam medan ini, Umar Uzair terus gigih memperjuangkan
jalur melodi bertunjangkan puisi yang berakar dalam jiwanya.

Bagi pendengar muzik arus perdana lagu-lagu berunsurkan puisi barangkali kedengaran agak canggung untuk dihayati ketika ini.

Menurut pemilik nama sebenar Umar Uzair Mohd. Zain, minat dan kecintaannya terhadap puisi lahir ketika masih menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam jurusan penulisan. Dari situ, dia mula mendekati makna sebenarnya bahasa dan sastera.

“Pada masa sama, saya juga mengikuti jurusan vokal sebagai subjek tambahan,” jelas anak jati kelahiran Johor itu.

Tuturnya lagi, dia banyak bercampur dengan golongan penyair dan berasa lebih dekat dengan dunia yang penuh dengan madah puitis.

Memaksimumkan ruang, bakat nyanyian dan kreativiti penulisan puisi yang ada dalam diri, Umar menjadikan contoh kumpulan Kopratasa dan sifu Datuk M. Nasir sebagai idola untuk mengetengahkan lagu-lagu berbentuk puisi.

Pernah muncul dengan album sulung, Pintalah Aku Ke Sana sekitar tahun 2016, lelaki berkulit hitam manis itu sekali lagi hadir dengan buah tangan baharu berjudul Hasrat Sang Enggang.

Menurut Umar, konsep album keduanya pada kali ini banyak berbeza dengan album terdahulu. Untuk buah tangan kedua ini, Umar banyak bermain dengan elemen berunsurkan alam dalam muzik yang dipersembahkan.

“Lirik lagu-lagu dalam album ini dihasilkan saya sendiri dengan menjadikan karya penulisan puisi sendiri terbitan Institut Terjemahan Buku Malaysia untuk dilagukan.

“Manakala susunan melodi pula dibuat oleh pasukan saya atas perbincangan bersama,” katanya.

Menampilkan lagu-lagu bertajuk Hasrat Sang Enggang, Rindu Membius Separuh Logikaku dan Demi Kesilapan Tenunganku Maafkanlah, Umar berkata, lagu-lagu yang disampaikan itu empunyai maksud yang mudah difahami dan tersendiri.

Buat masa sekarang, Umar juga selesa bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana label rakaman.

Pada masa sama, dia masih mencari pihak yang boleh menerima dan memahami aliran muzik yang diketengahkan.

“Selepas 10 tahun berkarya, saya tidak lagi memikirkan soal populariti tetapi berharap pendengar dapat menerima dan memberi sokongan terhadap seni yang cuba saya sampaikan,” tegasnya.

Mengakui terpaksa bersaing dengan ramai pendatang baharu dalam bidang seni suara, Umar juga tidak akan menolak jika ada mana-mana penyanyi Budak Baru Nak Up (BBNU) yang ingin berkolaborasi dengannya untuk terus memantapkan aliran lagu puisi pada masa akan datang.

Tidak pernah menyuarakan hasrat untuk berhenti daripada terus berkarya, Umar juga menyimpan impian supaya lagu-lagunya dapat dimainkan di corongcorong radio popular sama seperti agulagualiran perdana yang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI