SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya nama Persiaran Institut, Seksyen 1 di sini ditukar kepada Persiaran Tun Arshad Ayub.
Ia bersempena nama Pengarah Pertama Institut Teknologi MARA atau kini Universiti Teknologi MARA (UiTM), Allahyarham Tun Dr. Arshad yang meninggal dunia minggu lalu.
Istana Alam Shah memaklumkan titah Sultan Sharafuddin itu sudah diluluskan dan akan dikuatkuasakan serta merta oleh kerajaan Selangor menerusi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
“Nama persiaran itu merangkumi jalan sepanjang 1.62 kilometer yang bermula dari Bulatan Bistari Seksyen 2 hingga ke persimpangan lampu isyarat Seksyen 7.
“Penukaran nama itu bagi mengenang jasa Allahyarham Tun Arshad sebagai tokoh pendidikan disegani dan banyak berjasa memperkasakan sistem pengajian tinggi di negara ini terutama UiTM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Allahyarham Tun Arshad, 93, menghembuskan nafas terakhirnya di KPJ Damansara Specialist Hospital pukul 2.06 pagi, 14 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE