WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan penggantungan sementara selama tiga bulan cukai petrol dan diesel sebagai sebahagian daripada usaha untuk menurunkan harga bahan api tersebut, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Bercakap di White House kelmarin, Biden menggesa Kongres meluluskan pelepasan 90 hari bagi cukai petrol dan diesel sepanjang musim panas ini yang kebiasaannya sibuk dengan aktiviti pelancongan.
Cukai persekutuan bagi minyak petrol adalah kira-kira AS$0.18 sen (RM0.79) bagi satu gelen (kira-kira 4.5 liter) dan AS$0. 24 sen (RM1.06) satu gelen untuk diesel.
“Saya menyeru syarikat-syarikat minyak untuk menurunkan harga kepada pelanggan susulan pemansuhan cukai ini. Ini bukan masanya untuk mengaut keuntungan,” kata Biden.
Biden turut menggesa negeri-negeri di AS sama ada menggantung cukai petrol atau mencari kaedah lain untuk menurunkan harga minyak.
Tambah Biden, beliau memahami bahawa pelepasan cukai minyak petrol semata-mata adalah tidak mencukupi dalam menangani isu tersebut.
“Namun, langkah ini dapat memberikan sedikit kelegaan ketika kami berusaha untuk menurunkan harga petrol kepada paras yang munasabah,” katanya.
Biden sebelum ini meminta agar para pemain industri menapis lebih banyak minyak menjadi petrol bagi menurunkan harga bahan api itu. – Agensi