fbpx

Operasi LRA Sungai Semenyih terhenti lebih 2 jam angkara cecair pelarut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Loy Sian (kanan) menghidu sampel air yang diambil pihak berkuasa berdekatan sebuah kilang sawit di Semenyih hari ini.

KAJANG – Cecair pelarut (solvent) yang ditemui di luar premis sebuah kilang sawit di Semenyih di sini dipercayai punca yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihentikan operasi hampir dua jam setengah hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, LRA Sungai Semenyih dihentikan tugas pada pukul 10.15 pagi hingga 12.45 tengah hari selepas pihak berkuasa mengesan berlakunya pencemaran bau.

“Bagaimanapun LRA tersebut beroperasi semula pada pukul 1.45 petang dan pencemaran kali ini tidak menyebabkan bekalan air kepada pengguna terputus.

“Ini kerana ia tidak memasuki Muka Sauk dan gangguan air yang berlaku juga tidak melebihi empat jam. Ia hanya melibatkan henti tugas fungsi rawatan air di LRA Semenyih,” katanya kepada pemberita ketika turun padang melawat insiden pencemaran bau di sebuah kilang sawit di Semenyih dekat sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang menjelaskan, hasil siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Air Selangor mendapati pencemaran berpunca daripada bau cecair pelarut yang dikesan berdekatan kilang sawit berkenaan dengan bacaan satu ton.

“Keadaan pencemaran ada yang dikesan sampai bacaan empat ton di Muka Sauk, bagaimanapun pencemaran dapat dikurangkan kepada sifar ton dan pihak berkuasa juga mendapati bau cecair pelarut kali ini yang ditemui di luar premis kilang sawit terbabit serta di dalam premis seakan-akan sama.

“Buat masa ini kita kesan punca pencemaran di kawasan kilang ini sahaja dan kemungkinan ia berlaku selepas hujan lebat yang mana cecair pelarut tersebut melimpah masuk daripada saliran yang sedia ada ke sungai Semenyih.

“Justeru itu, kita akan bawa sampel ini ke jabatan kimia untuk melihat sama ada ia mempunyai bahan kimia yang sama atau sebaliknya. Kita perlu tunggu dua minggu baru dapat keputusannya,” katanya.

Mengulas lanjut, jelasnya, insiden ini bukan kali pertama berlaku melibatkan LRA ini sebaliknya pernah berlaku beberapa kali dalam tempoh tiga ke empat tahun lalu.

Tegasnya, pihak LUAS dan yang berkaitan akan membuat laporan polis berhubung insiden ini dan berharap satu siasatan dapat dilakukan termasuk menggunakan Enakmen LUAS bagi menangani isu ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI