fbpx

Hospital Sultanah Aminah Dua bakal dibina di Kempas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ling Tian Soon

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan bakal membangunkan sebuah hospital baharu iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA) Dua yang berkapasiti 350 buah katil di Kempas bagi meningkatkan lagi taraf perkhidmatan kesihatan awam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, hospital berkenaan yang akan dibina di atas tanah berkeluasan 207.55 hektar melibatkan peruntukan awal berjumlah RM500 juta.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah membuat permohonan agar projek berkenaan dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Johor meletakkan projek ini sebagai satu projek keutamaan, pelaksanaannya juga telah mendapat sokongan daripada Kementerian Kesihatan (KKM), HSA Dua ini akan menempatkan beberapa fasiliti lain termasuklah Pejabat Kesihatan dan juga kuarters.

“Jika permohonan ke RMK12 diluluskan dan kita dapat selesaikan isu tanah dan juga pemberian tender pada tahun hadapan, kerja pembinaan projek ini boleh mula dilaksanakan seawal 2024 dengan tempoh masa tiga tahun pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui di pekarangan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Tambah Tian Soon, pada ketika ini kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyelesaikan isu penempatan setinggan yang berada di tanah berkenaan.

“Sementara itu, kita juga akan melaksanakan penambahbaikan terhadap HSA Johor Bahru sedia ada seperti membina bangunan poliklinik baharu serta menaik taraf kawasan tempat letak kenderaan.

“Selain daripada itu, pembinaan sebuah lagi hospital kerajaan baharu yang bertempat di Pasir Gudang pula sedang berjalan mengikut jadual dengan dijangka siap pembinaannya pada tahun 2024,” ujarnya.

Sementara itu, ketika sesi perbahasan sempena Sidang DUN, Tian Soon memaklumkan kadar vaksinasi Covid-19 bagi penduduk dewasa di negeri ini telah mencapai tahap 100 peratus dengan seramai 2,732,223 orang telah lengkap divaksin setakat 6 Jun tahun ini.

“Manakala kadar vaksinasi membabitkan dos penggalak bagi penduduk dewasa pula adalah pada tahap 77.9 peratus iaitu seramai 2,129,774 orang.

“Bagi golongan remaja yang berusia 12 bawah 18 tahun pula, seramai 348,070 orang atau 98.4 peratus telah menerima vaksinasi lengkap manakala bagi golongan kanak-kanak yang berusia 5 hingga 12 tahun pula adalah 56.4 peratus (230,738 orang) telah menerima satu dos vaksin dan sebanyak 41.5 peratus (170,192 orang) telah menerima vaksinasi lengkap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan N. Saraswati (BN-Kemelah) berhubung status vaksinasi Civic di negeri ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI