PENUH gilang-gemilang. Benarlah, impian menjadi raja sehari itu indah. Untuk pasangan yang hampir 10 tahun mendirikan rumah tangga, persandingan semula dan diraikan bagai pengantin baharu bagaikan mustahil. Namun tidak buat pasangan popular itu, mereka masih mampu mencipta suasana gah tanpa canggung.
Melangkah dengan busana songket merah hati rekaan pereka terkenal, Man Kajang, Rozita Che Wan dan suami tercinta, Zain Saidin ternyata berada dalam dunia bahagia mereka sendiri.
Mendirikan rumah tangga sejak 11 Disember 2013, wanita yang mesra disapa Che Ta itu tidak kelihatan kekok berarak dengan hiasan cucuk sanggul, menyerlahkan lagi kejelitaannya meskipun sudah mencecah usia 49 tahun.
Mengejutkan ramai, majlis malam berinai yang diadakan di GlamHall Damansara itu rupa-rupanya menelan belanja lebih RM100,000 yang ditaja oleh rakan baiknya iaitu Anas Zahrin. Bertuah sungguh kedua-dua pasangan pengantin ‘lama’ berkenaan.
Sekali lagi naik pelamin, Che Ta meluahkan keterujaan apabila ulang tahun perkahwinannya yang kesembilan diraikan dalam sebuah majlis penuh gemilang.
“Awalnya kami hanya nak adakan majlis pelancaran produk inai keluaran saya tetapi tiba-tiba Anas cakap, alang-alang buat majlis malam berinai terus walaupun ulang tahun perkahwinan sebenar kami jatuh pada bulan Disember nanti!
“Majlis malam ini memang saya lepas tangan. Tak tahu pun atur cara program, saya ikut saja kata pengacara majlis,” katanya kepada HibGlam ceria.
Hampir 10 tahun melayari bahtera rumah tangga, pelakon yang terkenal menerusi drama Kiah Pekasam itu tidak keberatan untuk berkongsi rahsia kebahagiaan yang menjadi pengikat kasih dengan suami.
Katanya, meluangkan masa bersama walau sehari dalam sebulan merupakan detik penting bagi mereka.
Meskipun kedua-duanya sibuk dengan jadual kerja yang padat, pasangan itu akan tetap mencuri masa untuk keluar makan malam sekurang-kurangnya dua kali sebulan.
“Dalam rumah tangga kena tolak ansur antara suami isteri. Apa perkara yang dia suka saya buat dan jika tidak, elakkan.
“Kami memang sibuk dengan kerja, tetapi tetap cuba mencari masa terluang walau sekejap untuk keluar makan malam bersama. Ketika itulah kita boleh berbual panjang, berkongsi semua masalah bersama,” tuturnya.
Tambahnya, persefahaman dan kepercayaan antara mereka juga merupakan satu daripada resepi mengecap kebahagiaan yang dimiliki.
Ujarnya, jika tiada kepercayaan, mahligai cinta yang dibina berpuluh tahun pun boleh runtuh berkecai.
“Saya dan Zain saling percaya. Dia kenal kawan-kawan saya dan begitulah sebaliknya.
“Jika nak keluar dengan kawan-kawan dan pulang lewat, saya akan minta izin dan maklumkan kepadanya.
“Kalau boleh jangan sesekali musnahkan kepercayaan yang diberikan pasangan kita, akibatnya akan menyakitkan jiwa sendiri,” pesan bekas pramugari Malaysia Airlines berkenaan.
‘Cukup Aaisyah sahaja’
Memiliki anak ramai barangkali bukan pilihan Che Ta dan Zain. Masing-masing sependapat enggan lagi menambah zuriat selepas anak bongsu mereka, Aaisyah Dhia Rana kini berusia lapan tahun.
Menurut Zain, kesibukan kerja membuatkan mereka memilih untuk tidak menambah cahaya mata dan fokus terhadap Aaisyah yang semakin membesar.
“Aaisyah pun sudah berusia lapan tahun, tak perlulah (tambah anak). Saya pun sibuk nak tengok dia. Apa yang ada besarkanlah.
“Dia pun tak pernah bersuara minta diberikan seorang adik. Pernah juga tanya dia, katanya tak mahu. Sekarang dia lebih untuk mencari rakan sebaya,” ujar pelakon drama sitkom Oh My English itu.
Tidak menjadikan isu anak sesuatu yang menyebalkan, Zain bersyukur biarpun hanya dikurniakan seorang anak bersama Che Ta.
“Alhamdulillah syukur. Sudah ada rezeki dapat anak seorang pun, syukur,” ujarnya lagi.
Sedia terima menantu
Pada usia yang bakal menjangkau 50 tahun, kakak kepada pelakon Ayu Raudhah itu mengakui sudah bersedia untuk menerima ahli keluarga baharu bergelar menantu.
Terbuka berbicara tentang hubungan cinta dua anak terunanya, Che Ta mengakui sentiasa mengambil tahu tentang mana-mana gadis yang rapat dengan anak-anaknya.
“Sebagai ibu, saya cuba memahami dan sentiasa ambil tahu tentang hubungan cinta mereka. Mungkin saya tak akan bersanding lagi selepas ini, giliran anak-anak pula,” jelasnya.
Membuka rahsia, anak kelahiran Kedah itu memberitahu, hati kedua-dua anak lelakinya iaitu Ammar Effendy, 25, dan Aniq Ezra, 24, sudah ditawan gadis pilihan masing-masing.
“Aniq dan Ammar memang ada kekasih. Saya juga selalu berbual dengan buah hati Ammar dalam media sosial,” ujarnya lagi.
Difahamkan, Ammar kini menjalinkan cinta dengan Erysha Emyra, anak perempuan kepada pelakon popular, Datin Noniswara.