SELAYANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran tegas kepada mana-mana individu dan syarikat agar tidak terbabit atau bersubahat dalam aktiviti menyorok barangan kawalan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, individu yang didapati terlibat boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
“Tindakan penggantungan dan pembatalan lesen juga boleh diambil kepada pemegang-pemegang lesen sekiranya didapati terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang ini.
“Mereka juga boleh disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613),” katanya ketika sidang akhbar Ops ATM di NSK Trade City di sini hari ini.
Katanya, KPDNHEP telah menggerakkan 2,200 anggota di seluruh negara untuk membanteras dan menggempur aktiviti menyorok barang kawalan seperti ayam, telur dan minyak masak botol bagi memastikan bekalan tersebut sentiasa mencukupi dengan harga berpatutan setiap masa.
“Pemeriksaan harian juga telah dijalankan ke atas 2,711 premis peruncit, 1,039 pemborong dan 223 pengilang yang melibatkan barang kawalan dan keperluan asas termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, telur, ayam, bawang, susu tepung dan sayur-sayuran.
“Bagi mengelak berlakunya penyelewengan, KPDNHEP telah melaksanakan Ops Anti-Sorok Barang kawalan dan sepanjang tahun 2022 sehingga 22 Jun sebanyak 158,064 pemeriksaan telah dibuat ke atas premis peruncit, pemborong dan pengilang terpilih di seluruh Negara,” jelasnya.
Tambahnya, pengguna disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan. – KOSMO! ONLINE.