PUTRAJAYA – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) merekodkan peningkatan lebih 50 peratus trafik antarabangsa di kesemua lapangan terbang tempatan di bawah kendaliannya.
Perkara itu disahkan Pengarah Urusannya, Datuk Iskandar Mizal Mahmood menerusi satu kenyataan bagi memaklumkan mengenai prestasi semasa operator terminal udara tersebut.
“Selaras pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu, kami merekodkan purata bulanan yang tinggi malah ada permintaan baik untuk syarikat penerbangan kembali pulih,” katanya hari ini.
Lonjakan itu ujarnya, turut dibantu dengan pelancaran tambahan sebuah lagi operator baharu, Lanmei Airlines dari Kemboja serta penyambungan semula penerbangan lima syarikat lain.
Ini menyaksikan sejumlah 43 syarikat penerbangan asing beroperasi di Malaysia terutama hab utama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor.
Sementara itu, lima lagi operator antaranya ialah syarikat penerbangan kos rendah terbesar India, IndiGo yang kembali menyambung jadual dari Chennai dan Tiruchirappalli ke KLIA.
Tidak ketinggalan ujarnya, ialah Smile Airways dari Thailand untuk laluan Bangkok-Pulau Pinang manakala baki tiga lagi melibatkan penyambungan balik ke Kota Kinabalu di Sabah. – KOSMO! ONLINE