fbpx

Situasi menang-menang mampu selamatkan pengusaha kantin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rushdi (tengah) ketika bercakap pada sidang akhbar penyerahan memorandum berhubung kenaikan harga RMT di pekarangan Ibu Pejabat KPM di sini, hari ini.- FOTO: FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) digesa mencari penyelesaian menang-menang berhubung harga Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi memastikan pengusaha kantin tidak gulung tikar.

Wakil Solidariti Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia, Rushdi Abdul Majid berkata, KPM perlu memikirkan langkah terbaik bagi menangani masalah untuk memastikan pengusaha kantin tidak terus menanggung rugi.

Katanya, pihaknya bukan sengaja mahu harga RMT dinaikkan tetapi jika tidak pastinya pengusaha kantin terbeban sehingga terpaksa melepaskan perniagaan kantin atau diberi kepada ‘caretaker’.

“Kenaikan harga barang dan pelaksanaan gaji minima yang sudah dua kali kenaikan menyebabkan pengusaha kantin mengalami keresahan kerana ia membebankan. Itu belum lagi kelewatan pembayaran program RMT.

“Kali terakhir harga RMT dinaikkan adalah pada 2015 dengan RM2.50 di Semenanjung dan Sabah Sarawak serta Labuan RM3.00 sehinggalah sekarang,” katanya selepas menyerahkan petisyen memohon kenaikan harga RMT kepada Pegawai Khas kepada Menteri Kanan Pendidikan, Mohamad Sabiq Aiman Azhar di perkarangan Ibu Pejabat KPM di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan pemangku Yang Dipertua Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Sarawak, Datuk Rozalix Ediwahab menggesa kadar peruntukan untuk RMT perlu dikaji semula memandangkan harga bahan makanan meningkat pada masa ini.

“Peruntukan yang mencukupi harus diberikan bagi memastikan makanan yang disediakan kepada pelajar berkualiti malah ramai pembekal RMT mengeluh disebabkan bajet yang kecil tetapi mereka tetap mengusahakannya,” katanya.

Rushdi berkata, pihaknya berharap usaha yang dilakukan ini mendapat perhatian pihak KPM kerana penyerahan ini dilakukan secara profesional.

Katanya, pihaknya memahami pelbagai prosedur perlu dilakukan maka diharapkan pihak KPM dapat memberi jawapan dengan kadar segera.

“Perkara ini perlu diselesaikan segera kerana semakin lama ia tertangguh, semakin ramai pengusaha kantin menanggung beban, tengok sajalah harga ayam. Itu belum barangan lain dan ada juga kerugian yang dialami kira-kira 30 peratus.

“Kami cuma minta ia diperhalusi segera demi manfaat semua dan kami buat masa ini pun, 40 peratus daripada pengusaha kantin sudah gulung tikar dan kini, diambil alih ‘caretaker’,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI