PETALING JAYA – Rata-rata netizen melahirkan perasaan tidak berpuas hati dengan tindakan seorang jemaah dewasa yang bertindak memarahi sekumpulan kanak-kanak berada di saf belakang sebuah masjid untuk menunaikan solat secara berjemaah baru-baru ini.
Berdasarkan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di masjid terbabit, sekumpulan kanak-kanak dilihat dimarahi seorang lelaki dewasa hingga ada daripada mereka meninggalkan saf dan tidak mengikuti solat berjemaah.
Rakaman CCTV yang dikongsikan di Facebook I Love Pahang itu bagaimanapun tidak memberitahu secara lanjut lokasi dan masa kejadian.
Berdasarkan hantaran Facebook itu menjelaskan, sikap kanak-kanak yang mungkin membuat bising di masjid merupakan satu perkara biasa memandangkan mereka baru mahu mengenal erti solat secara berjemaah.
“Masa nabi solat, cucu baginda main sampai atas tubuhnya. Tiada baginda marah. Pak cik dalam video ini memang akan masuk syurga sampai mahu tolak dengan kasar anak orang. Pak cik tahu tak, generasi inilah yang akan penuhkan saf bila pak cik mati nanti.
“Dan generasi inilah yang mungkin tidak akan jejak lagi ke surau atau masjid sebab malas mahu bergaduh dengan golongan seperti itu,” tulisnya.
Dalam pada itu, rata-rata netizen turut tidak bersetuju dengan tindakan lelaki itu memarahi kanak-kanak terbabit memandangkan mereka masih kecil dan kurang matang.
“Apalah orang tua macam ini, budak-budak biasalah buat bising. Tegur la baik-baik. Jangan sampai macam itu, nanti budak-budak takut nak datang masjid,” kata Rabibah Ahmad.
“Mahu tunjuk warak, tetapi kasih sayang tiada. Macam mana lah generasi ini nak mengisi masjid,” ujar Ariff Mahmood. -KOSMO! ONLINE