MELAKA – Enam sekeluarga termasuk seorang warga emas pesakit kanser diselamatkan pasukan bomba selepas kediaman mereka mula dinaiki air banjir kilat di Jalan Bukit Senjuang, di sini, tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BB) Padang Temu, Pegawai Bomba Kanan II Hazalani Jaafar berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 7.38 pagi tadi.
Katanya, sepasukan enam anggota bersama-sama sebuah jentera telah dikejarkan ke lokasi untuk operasi menyelamatkan dan memindahkan mangsa banjir.
“Setiba di lokasi kita dapati kediaman mangsa telah dinaiki air pada paras satu kaki dan terdapat seorang warga emas sedang sakit terlantar.
“Anggota bertindak membantu memindahkan mangsa ke rumah jirannya di kawasan yang lebih tinggi dan tidak terjejas dengan banjir,” katanya.
Ujarnya, keseluruhan seramai enam penghuni di dalam rumah itu telah diselamatkan.
Terdahulu, beberapa kawasan di negeri ini mula dinaiki air selepas hujan lebat berterusan lebih dua jam sejak awal pagi tadi.
Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka bagaimanapun melaporkan keadaan di semua kawasan masih terkawal. – KOSMO! ONLINE