BERBAKI dua hari sebelum jendela perpindahan ditutup, skuad Terengganu FC II (TFC II) kehilangan bisa di jentera serangan apabila penyerang utama, Jordan Mintah meninggalkan pasukan itu.
Pemenang Kasut Emas Liga Premier 2021 itu akan menyarung jersi penyandang juara Piala Malaysia, KL City FC untuk baki saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim ini secara pinjaman.
Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh berkata, proses rundingan antara pihaknya dan KL City FC berjalan lancar setelah satu persetujuan dicapai bagi membenarkan perpindahan itu berlaku semalam.
“Antara syarat yang dipersetujui adalah KL City FC tidak boleh menurunkan pemain itu untuk aksi bertemu TFC atau TFC II sepanjang tempoh pinjaman sehingga 30 November ini.
“Mintah seterusnya akan kembali ke pangkuan TFC bagi memenuhi perjanjian kontraknya yang akan tamat pada hujung 2023,” katanya semalam.
Ketiadaan pemain berusia 27 tahun itu pastinya dirasai anak-anak buah Badrul Afzan Razali dalam menghadapi pusingan kedua Liga Premier serta kempen Piala Cabaran tahun ini.
Mintah yang juga ketua pasukan TFC II memulakan kempen musim ini dengan perlahan sebelum menemui sentuhan jaringan dengan meledak tujuh gol dalam sembilan perlawanan dan membantu skuad Sang Penyu menduduki tangga ketiga liga.
Pasukan berstatus feeder itu difahamkan sedang menilai keperluan mendapatkan penyerang import baharu bagi mengetuai serangan sebelum jendela perpindahan ditutup esok.