SUNGAI PETANI – Seorang operator kilang didenda RM900 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas seorang remaja perempuan dalam pergaduhan di Pantai Merdeka dekat sini pada Ahad lalu.
Tertuduh, Siti Zulaikha Zolkifli, 23, dijatuhkan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Majistret, Nadhirah Abdul Rahim.
Nadhirah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan. Tertuduh membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa berusia 19 tahun di padang rekreasi Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda dekat sini kira-kira pukul 6.22 petang, 19 Jun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeyaa dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.- KOSMO! ONLINE