PETALING JAYA – Unsur penyelewengan yang tercetus dalam kalangan pemain industri dan pihak komersial selain aktiviti penyeludupan menjadi antara faktor subsidi minyak masak berbotol tidak diteruskan kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, susulan itu, keputusan tidak menyambung subsidi minyak berbotol turut dibuat kerana objektif awal program ini adalah untuk membantu golongan terkesan pandemik.
“Sewaktu pandemik, kerajaan telah memperkenalkan program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol bagi 1kg, 2kg, 3kg dan 5 kg pada Ogos 2021. Usaha ini bagi membantu Keluarga Malaysia yang ketika itu terkesan akibat Covid-19.
“Program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol ini hanyalah untuk tempoh tiga bulan sahaja
dengan kos RM55 juta sebulan,” katanya dalam satu sidang akhbar khas tadi.
Katanya, kerajaan mendapati minyak masak berbotol yang disubsidi banyak diselewengkan oleh pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan.
“Sehubungan dengan itu, kerajaan membuat keputusan mulai 1 Julai 2022 untuk tidak lagi menyambung subsidi untuk minyak masak berbotol kerana objektif awal program ini adalah untuk membantu golongan terkesan pandemik,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE