DIKURNIAKAN kejelitaan paras rupa dan kesempurnaan pakej sebagai wanita menjadikan selebriti kelahiran Jakarta, Indonesia itu cukup disayangi peminatnya.
Bahkan sebelum bergelar artis lagi, Raline atau nama lengkapnya Raline Rahmat Shah sudah cukup diminati masyarakat selepas memenangi kategori Puteri Favorite dalam pertandingan ratu cantik, Puteri Indonesia tahun 2008 ketika mewakili provinsi Sumatera Utara.
Kerjaya seninya sebagai pelakon dan model cukup sukses menjadikan Raline layak diibaratkan ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan bintang-bintang papan atas lain di tanah seberang.
Kanvas seni pelakon dengan ketinggian mencecah 171 sentimeter itu juga terlihat pancawarna. Kebanyakan filem lakonannya mencapai sasaran pecah panggung, termasuk 99 Cahaya Di Langit Eropa, Surga Yang Tak Dirindukan dan Orang Kaya Baru.
Selain bergelar selebriti terkenal di Indonesia, Raline juga pernah mencipta nama di Malaysia selepas membintangi filem Polis Evo 2 (2018) dengan memegang watak sebagai Rian. Bahkan, wanita yang dilahirkan 4 Mac 1985 itu juga pernah menetap di Johor, Bahru pada tahun 1998 dan bersekolah di Kolej Tuanku Ja’afar, Mantin, Negeri Sembilan.
Masih solo
Biarpun perjalanan kariernya terbilang sukses, namun kehidupan peribadi, terutamanya soal jodoh tidak begitu memihak kepadanya.
Menjangkau usia 37 tahun, Raline masih berstatus solo, bahkan mengakui masih belum memiliki ‘pacar’ (teman lelaki) untuk diperhalusi bakal bergelar calon suaminya kelak.
Ketika disoal media tempatan tentang soal jodoh, Raline beranggapan lelaki sekadar pelengkap dalam melayari kehidupan peribadinya.
“Menurut saya, lelaki itu umpama ‘pencuci mulut’ sahaja. Maksudnya, saya sudah gembira dengan kehidupan saya hari ini.
“Jika memiliki seorang suami, perkara itu hanya sekadar untuk melengkapi kehidupan saya sahaja. Apa-apa pun, saya gembira dengan kehidupan saya hari ini,” kata Raline.
Urusan Tuhan
Sejujurnya, Raline tidak terlalu memaksa diri untuk cepat-cepat menamatkan zaman solo walaupun kedua-dua orang tuanya sering mendesak dan bertanyakan hal tersebut.
Bagi pemegang Sarjana dalam bidang Ilmu Politik dan Media Baharu dari Universiti Kebangsaan Singapura itu, dia faham dengan keinginan ibu bapa untuk melihat dirinya menjalani kehidupan sebagai seorang isteri, lebih-lebih lagi pada usia sekarang.
“Mereka (ibu bapa) mahukan yang terbaik untuk saya. Ibu saya berkahwin pada usia muda.
“Jadi dia juga mahu saya menuruti jejak langkahnya, namun saya tidak boleh mengikuti caranya itu,” ujar Raline.
Kata Raline, dia tidak mahu membebankan diri dengan soal jodoh kerana yakin waktu untuk mengakhiri zaman solo tersebut akan tiba suatu hari nanti.
“Saya percaya setiap orang mempunyai waktunya masing-masing dalam hidup termasuk soal jodoh dan kematian.
“Tentang jodoh, saya serahkan semuanya pada Tuhan. Jangankan jodoh, meninggal dunia pun saya tidak tahu bila waktunya,” ujar Raline.
Dikurniakan pakej lengkap sebagai seorang wanita, siapa sangka cinta Raline pernah tidak kesampaian selepas ditolak oleh seseorang. Raline mengakui jiwanya terasa pedih dan sedih saat cintanya ditolak seorang lelaki kerana faktor keserasian.
“Mula-mula saya berasa sakit hati. Namun, selepas difikirkan, saya akhirnya faham bahawa lelaki itu tidak dapat meneruskan hubungan cintanya bersama saya kerana tiada keserasian.
“Mungkin saya diibaratkan seperti Aiskrim coklat yang paling enak, tapi sebenarnya dia (lelaki) itu mahukan aiskrim strawberi. Jadi kami tidak bersama,” jelasnya.
Lelaki beriman
Enggan melabelkan dirinya sebagai seorang wanita cerewet yang hanya mahukan kesempurnaan dalam hidup, Raline bertegas tidak pernah meletak kriteria tertentu terhadap bakal suaminya.
Baik harta mahupun rupa, kedua-dua kriteria tersebut bukanlah perkara utama yang ditempatkan pada kedudukan tertinggi dalam ‘borang’ penilaiannya mencari teman lelaki.
Sebaliknya, Raline lebih memandang aspek etika dan kerohanian yang ada pada bakal suaminya.
“Saya tidak memerlukan seorang suami yang tampan dan kaya. Nilai estetika lebih penting berbanding itu semua.
“Apa yang penting, bakal suami saya nanti haruslah berfikiran matang, memiliki akhlak tinggi dan seorang yang beriman,” dedahnya.