KABUL – Gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter menggegarkan bahagian tenggara Afghanistan sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 255 orang, demikian menurut agensi berita rasmi negara itu.
Menurut akhbar The Guardian, gempa bumi itu berlaku pada awal pagi hari ini (waktu tempatan) dengan pusat gempa adalah berhampiran bandar Khost yang terletak di selatan ibu negara, Kabul, lapor Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Sekurang-kurangnya 255 orang terbunuh dan 155 lagi cedera di daerah Barmala, Ziruk, Naka dan Gayan dalam wilayah Paktika, lapor agensi berita Afghanistan, Bakhtar.
Kematian turut dilaporkan di wilayah Khost dan Nangarhar, kata ketua pihak berkuasa pengurusan bencana Taliban, Mohammad Nassim Haqqani.
Menurut laporan Bakhtar, pegawai-pegawai tempatan bimbang angka kematian boleh meningkat jika kerajaan pusat tidak memberikan bantuan kecemasan.
“Gempa bumi kuat menggegarkan empat daerah di wilayah Paktika, membunuh dan mencederakan beratus-ratus rakyat negara kita di samping memusnahkan berpuluh-puluh rumah.
“Kami menggesa semua agensi bantuan menghantar pasukan ke kawasan itu dengan segera bagi mengelakkan malapetaka selanjutnya,” kata timbalan jurucakap kerajaan Taliban, Bilal Karimi.
Susulan kejadian, pasukan penyelamat dikerahkan ke kawasan-kawasan yang terjejas menggunakan helikopter. – Agensi